Monday, February 1, 2010

Manggis yang manis kurasa masam...


RENTUNG...anggota polis menutup mayat dengan kain di rumah mangsa yang musnah dalam kebakaran.

Warga emas rentung
Oleh Suzaini Sulaiman
am@hmetro.com.my
2010/02/02

TANJUNG KARANG: “Kira-kira jam 2 petang tadi (semalam) saya hantar makanan ke rumah ayah dan dia OK saja, kami tak banyak bersembang dan kemudian saya pulang dan meneruskan kerja di sawah,” kata Abdul Manaf Jarfi, 55.

Itulah kali terakhir dia melihat bapa mentuanya, Ahmad Musa, 96, yang rentung selepas rumahnya terbakar dalam kejadian jam 5.30 petang semalam di Tali Air 1, Ban 2, Kampung Sungai Burong, di sini, semalam.

Abdul Manaf, berkata, arwah tinggal berseorangan di situ sejak beberapa tahun lalu manakala rumahnya terletak satu kilometer daripada rumah warga emas berkenaan.

“Setiap hari saya akan hantar makanan ke rumahnya kerana dia sudah uzur dan tak larat untuk memasak tetapi ayah tidak nyanyuk cuma tak larat berjalan,” katanya.

Menurutnya, dia terkejut apabila diberitahu jiran rumah bapa mentuanya itu terbakar dan ketika tiba, api sedang marak dan tidak mampu berbuat apa-apa.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Karang, Zulkepeli Othman, berkata pihaknya menerima panggilan jam 5.43 petang dan jentera tiba jam 5.59 petang.

“Dua jentera dari Tanjung Karang dan Sekinchan bersama 16 anggota termasuk dua pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika tiba, hampir 90 peratus rumah musnah dan kami dapat mengawal kebakaran dalam tempoh setengah jam,” katanya.

Beliau berkata, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Zulkepeli berkata, mayat mangsa dibawa ke hospital Tanjung Karang (HTK) untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga untuk pengebumian.


++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Setiap insan inginkan kemanisan hidup...tapi kadangkala masam, masin, pahit dan tawar turut dirasakan silih berganti...Apakan daya, itu Allah punya kuasa...tapi sebagai hambaNya, berusaha dan tawakkal wajib dijadikan amalan untuk merasai kemanisan, menidakkan citarasa yang boleh menjadikan hidup tidak seenak yang diimpikan...

Hari ini hidupku terasa kurang manis...kematian datuk saudaraku sebelah Abah amat meruntun jiwa...Petang tadi adikku melahirkan khabar berita dalam sedu sedan menahan tangis..."Tuk Wa meninggal dalam tragedi"....sungguh tragis!

Tuk Wa semasa hayatnya bukanlah seorang yang kaya harta bendanya..cukup makan pakai untuk meneruskan kehidupan...tapi umurnya yang telah menjangkau 100 tahun itu amat istimewa...tidak pernah sekalipun dia lupa siapa anak-anak, anak-anak saudara, isteri/suami mereka, cucu-cucu juga cicit-cicitnya...di mana sahaja ada kematian, Tuk Wa sanggup berusaha untuk pastikan kehadirannya...di mana sahaja ada kenduri kendara, Tuk Wa hadir dengan basikal tuanya...

Kini Tuk Wa telah tiada...tiada lagi insan untuk anak-anak cucu bergelak ketawa dengan telatahnya yang mengusik jiwa...Tragedi kebakaran di rumahnya petang tadi telah meragut nyawa...pergilah Tuk Wa menemui Penciptanya...Al-Fatihah buat Arwah Tuk Wa...semoga bersama orang-orang yang dicintai Allah...

PEM: MANGGIS yang kumakan terasa masam.... :(

No comments:

Post a Comment